Kapal pasir kendalian warga asing yang ditahan maritim malaysia di perairan negara kerana kesalahan bersauh haram awal pagi tadi. Ihsan gambar Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Sebuah kapal pasir yang dikendalikan oleh warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal yang didapati bersauh tanpa kebenaran itu telah ditahan di kedudukan 0.4 batu nautika Tenggara Jeti Sungai Kembung pada pukul 2.18 pagi tadi.

“Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima aduan awam berkenaan kapal pasir itu yang bersauh di kedudukan penahanan sejak beberapa hari lalu.

Dua warga asing yang merupakan nakhoda kapal pasir bersauh tanpa kebenaran di perairan negara awal pagi tadi.Gambar Ihsan Maritim Malaysia

“Bertindak atas aduan itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP EHSAN dan OP TIRIS telah diatur gerak untuk membuat pemeriksaan ke atas kapal pasir tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan oleh nahkoda berumur 36 tahun bersama seorang kru yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia dan enam kru warga China berumur di antara 30 hingga 65 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk bersauh.

“Nahkoda dan ketua jurutera berserta dokumen ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast