WARSAW – Belarus menawan seorang warga Jepun disyaki menjadi pengintip yang beroperasi di negara itu, lapor rangkaian televisyen milik kerajaan.
“Seorang ejen dari negara matahari terbit ditangkap,” kata All-National TV menerusi kenyataan dan klip video yang disiarkan di laman media sosial.
Katanya, beliau ditangkap ketika merakam gambar infrastruktur tentera dan cuba mendapatkan perincian pelaburan China di Belarus dan keadaan di sempadan Belarus-Ukraine.
Belarus merupakan sekutu rapat Moscow, dengan Presiden Alexander Lukashenko membenarkan Rusia menceroboh Ukraine menerusi wilayahnya.
Imej siaran rangkaian televisyen itu menunjukkan pengintip warga Jepun tersebut sedang mengaku perbuatan yang dilakukannya itu.
“Tindakan saya mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada Belarus,” katanya dalam Bahasa Rusia.
Ada ketika beliau menyatakan satu ‘serangan roket ke atas Belarus’ ketika sedang berdiri dengan tangan bergari dan dikelilingi ejen keselamatan di stesen kereta api.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Minsk terhadap penahanan itu – AFP