Para pegawai penguat kuasa dikerah ke Sekolah Tinggi Apalachee di Winder, Georgia selepas insiden tembakan dilaporkan. - AFP

WINDER, Amerika Syarikat – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menembak mati sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua pelajar, dan mencederakan sembilan lagi apabila beliau melepaskan tembakan di sebuah sekolah tinggi di Georgia, kata pegawai penguat kuasa.

Penembak itu, pelajar di sekolah terbabit, kini ditahan. Beliau akan berhadapan sengan tuduhan membunuh dan dibicarakan sebagai seorang dewasa, kata Biro Penyiasatan Georgia.

Dua orang guru turut terbunuh dalam kejadian tersebut.

Orang ramai berkumpul di padang Sekolah Tinggi Apalachee, yang mana ada antara mereka membentuk bulatan sambil berpegangan tangan.

“Pegawai sumber kami di sekolah menahan dia,” kata Sherif Jud Smith yang merujuk kepada pegawai penguat kuasa yang diambil untuk bekerja di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat (AS) kepada pemberita.

“Penembak dengan pantas sedar jika dia tidak menyerah, ia mungkin berakhir dengan OIS (seorang pegawai terlibat dengan tembakan). Dia menyerah, meniarap di tanah dan pegawai itu menahannya,” katanya.

Lewat semalam, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan bahawa suspek mendapat perhatian lebih setahun lalu kerana mengancam untuk melakukan tembakan di sekolah.

Ketika itu, Pejabat Sherif Daerah menemubual ayah dan suspek berusia 13 tahun menafikan ancaman tersebut, sebelum mendapat perhatian para pegawai sekolah untuk memantaunya.

Smith berkata, polis masih belum mengetahui jika penembak itu mempunyai sasaran spesifik dan pihak berkuasa masih belum mengenal pasti jenis senjata api yang digunakan

Terdapat mereka yang berada di sekolah pada awalnya menyangka ia hanya latihan insiden tembakan, kata seorang pelajar kepada AFP yang merujuk kepada latihan yang biasa dilakukan di sekolah-sekolah AS.

“Setiap orang menyangka ia adalah latihan sehingga guru saya berkata kami tidak mendapat e-mel (mengenainya)

“Dia mengumpulkan kami di penjuru dan setiap orang hanya berpelukan antara satu sama lain, saya bersama rakan-rakan menangis.

“Sehingga dua pegawai polis berenjata senapang datang dan memberitahu kami ia bukannya latihan dan kami masih lagi belum selamat,” kata Alexsandra Romeo.

Seorang pelajar, Stephanie Folgar ,17, berkata, beliau terdengar ‘bunyi letupan’ dan pelajar yang panik menyorok dalam bilik air.

“Ia menakutkan apabila mengetahui ia mungkin anda,” katanya.

Seorang pelajar lelaki memberitahu media tempatan bahawa beliau nampak darah di atas lantai dan satu mayat ketika beliau keluar daripada bangunan.

Insiden tembakan itu berlaku berhampiran bandar Winder, kira-kira 70 kilometer dari ibu negeri, Atlanta.

Terdahulu, pihak berkuasa sekolah dilaporkan menghantar mesej kepada ibu bapa menyatakan mereka menguatkuasakan ‘perintah kawalan pergerakan selepas laporan tembakan senjata api’.

Selepas semunya tenang, ibu bapa dijemput ke sekolah untuk bersama-sama anak mereka, dengan barisan kereta yang panjang kelihatan di luar sekolah. – AFP.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast