Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan baharu menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu untuk mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

Jelasnya, taktik tersebut mendakwa secara palsu IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

Menurutnya, di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

“”Dalam kes ini, SC mendapati syarikat tersebut memberi gambaran kepada pelabur  ia telah mengeluarkan IM yang kononnya diserahkan kepada SC sekali gus mengelirukan pelabur dan memberikan kredibiliti kepada skim pelaburannya.

“SC ingin mengesahkan syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki bahawa ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan,” katanya menerusi kenyataan.

IM ialah dokumen penzahiran yang menggariskan maklumat penting seperti perniagaan syarikat, pandangan industri kewangan dan strategi pertumbuhan yang akan membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan termaklum.

Suruhanjaya itu berkata, tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

Sehubungan itu, SC menggalakkan masyarakat mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama suruhanjaya berkenaan atau mana-mana pegawainya dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan.

“SC memandang serius perkara ini, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

“Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum. Orang ramai boleh mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast