Selut sedalam satu meter sukarkan nelayan Sungai Batu lakukan aktiviti penangkapan ikan.

TELUK KUMBAR – Komuniti nelayan Sungai Batu di sini mendakwa projek penambakan Pulau Silikon seluas 930.77 hektar telah menjejaskan aktiviti penangkapan ikan susulan pesisiran kawasan itu dipenuh selut setebal satu meter.

Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail berkata, pihaknya berdepan situasi itu sejak bulan lalu sekali gus menjejaskan kehidupan dan pendapatan mereka.

“Sebelum projek ini bermula, tiada masalah selut setebal ini di persisiran Sungai Batu namun kini kami mengalami pelbagai situasi luar biasa.

“Impak selut ini serius khususnya daripada segi penurunan mendadak dalam tangkapan hasil laut.

“Dengan kedalaman selut mencecah satu meter, sampan nelayan sering terperangkap sekali gus menyebabkan kami tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap udang dan ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zakaria, sepanjang Ogos lalu, nelayan di Sungai Batu hanya mampu pergi ke laut bagi tempoh 10 hari susulan ribut dan masalah selut.

“Unit Nelayan Sungai Batu akan hubungi Jabatan Alam Sekitar untuk mendesak siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah ini.

“Kita juga berharap pihak berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Perikanan, dan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara ini.

“Kita juga menyeru agar projek penambakan Pulau Silikon ini dihentikan sementara sehingga siasatan penuh mengenai kejadian selut yang melampau ini diselesaikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pulau Silikon akan siap ditambak sepenuhnya 2032 – Zairil

Media sebelum ini melaporkan, Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang kini dikenali sebagai Pulau Silikon berkeluasan 930.77 hektar dijangka siap ditambak sepenuhnya pada 2032.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja penambakan Pulau Silikon telah dimulakan pada September lepas selepas mendapat kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast