Mayat lelaki warga asing itu ditemui orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.

BUTTERWORTH – Tiada unsur jenayah dikesan pada mayat lelaki warga asing yang ditemui dalam keadaan leher dan badannya terjerut tali pinggang keledar kereta di parkir kenderaan terpakai di Bagan Ajam di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 2 petang, Rabu lalu.

Jelasnya, mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terbaring selain leher dan badannya terjerut tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang sebuah kereta.

Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki tersebut.

“Hasil siasatan yang dilakukan pihak polis dan forensik di lokasi kejadian menunjukkan tiada unsur jenayah sebelum mayat dihantar kenHospital Seberang Jaya bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan semalam pegawai perubatan forensik hospital berkenaan mengesahkan mangsa mati disebabkan ligature strangulation atau jerutan pada leher dan tiada sebarang unsur jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tambah Anuar, hasil soal siasat ke atas majikan dan rakan sekerja mangsa mendapati lelaki berusia 19 tahun itu baru datang dari Kuala Lumpur tiga hari lalu untuk bekerja sebagai tukang cuci kereta.

“Rakannya mendakwa lelaki itu mengalami tekanan susulan mempunyai masalah dengan isterinya yang berada di kampung halaman selain sering mendengar mereka bertengkar menerusi panggilan telefon.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan melulu dan menjadikan hal sebegini sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya lebih rasional,” katanya. – MalaysiaGazette