LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah menahan lima individu termasuk empatĀ pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kira-kira 5.2 batu nautika dari Pulau Tiga semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Izwandi Idros, kelima-lima mereka disyaki memiliki 200 kilogram (kg) bahan letupan yang kebiasaannya digunakan untuk mengebom ikan.
“Penahanan itu dilakukan bot peronda APMM yang sedang dalam rondaan rutin Op Sejahtera dan Op Tiris di perairan sekitar Labuan dan Pulau Tiga semalam.
“Kesemua suspek yang ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun dan kes kini disiasat kerana melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/1963,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 200 kg bom ikan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM80,000.
“Pemeriksaan juga mendapati organ dalaman ikan telah hancur dipercayai kesan aktiviti pengeboman. Penggeledahan yang dibuat turut menemukan beberapa peralatan mengebom ikan di atas bot terbabit,” tambahnya.