Hadiah lumayan wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang! Kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024 kembali menemui semua pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
Lebih menarik lagi Kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024 menawarkan hadiah Utama RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah saguhati RM500 untuk setiap 180 pemenang.
Tawaran menarik bermula 1 September hingga 31 Oktober ini selaras dengan peranan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memupuk amalan menabung melalui produk Simpan SSPN.
Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen. Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan, manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.
Menariknya, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna aplikasi myPTPTN.
Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima (5) cabutan.
Pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat sepuluh 10 cabutan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ibu bapa yang menabung seawal usia anak adalah superhero kerana mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menyediakan sumber kewangan dan perancang utama masa depan anak-anak.
Katanya, ini termasuk peranan mereka dalam mendidik anak mengenai pengurusan kewangan.
“Kekallah menjadi superhero sepanjang masa untuk masa depan anak dengan membuat perancangan kewangan di awal usia bagi memastikan generasi masa hadapan mereka mendapat pendidikan sempurna.
“Pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN selain berpeluang untuk memenangi hadiah yang lumayan sepanjang menyertai kempen ini.
“Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, memberikan perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” katanya.
Sehingga 31 Julai 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM18.7 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 6.5 juta.
Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut.