PELABUHAN KLANG – Pengurusan tertinggi syarikat pengeluar komponen plastik, Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd memberi jaminan masalah kelewatan pembayaran gaji yang dihadapi hampir 300 pekerja dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Presidennya, Datuk George C. Wang berkata, persetujuan itu dicapai secara persefahaman antara pihaknya dengan para pekerja termasuk lebih 200 warga Bangladesh dan 40 rakyat tempatan.
Beliau berkata, kelewatan pembayaran gaji tidak dapat dielak susulan peningkatan pesanan daripada dua pelanggan utamanya, Panasonic dan Daikin – masing-masing pengeluar televisyen dan penghawa dingin.
“Isu kelewatan bayaran gaji ini, kami mempunyai persetujuan persefahaman antara syarikat dan pekerja kami. Kami terpaksa membuat pembayaran pendahuluan untuk menampung lonjakan pesanan luar jangka daripada pemain utama industri elektronik seperti Panasonic dan Daikin.
“Sudah tentu kami terpaksa menyuntik banyak dana untuk pembelian bahan mentah bagi memenuhi pesanan para pelanggan kami,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Biro Ber1 Abata Malaysia, Dahlan Ridzuan Radin.
Sebelum ini, media melaporkan, aktivis hak buruh asing, Andy Hall mendedahkan sebuah kilang yang membekalkan komponen kepada syarikat elektronik utama didakwa tidak membayar gaji pekerja sehingga enam bulan.
Pendedahan aktivis itu berdasarkan temu bual dengan tujuh pekerja warga Bangladesh yang memperincikan dakwaan mereka dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari.
Menurut George, dakwaan itu tidak berasas dan perkara itu disahkan sendiri Kedutaan Republik Rakyat Bangladesh di Malaysia susulan lawatan mereka ke kilang tersebut pada 6 September lalu.
“Semasa pemeriksaan, tiada tanda-tanda ketidakpuasan hati dilaporkan oleh pekerja kepada kedutaan, mengesahkan bahawa kebajikan tenaga kerja warga Bangladesh masih terjaga walaupun bayaran gaji agak lewat,” katanya.
Selain itu, beliau juga berhubung dengan para pelanggan untuk menjelaskan rasional di sebalik kelewatan sementara gaji pekerja asing.
“Mereka telah menerima penjelasan kami, dan tiada tindakan segera diperlukan daripada pihak mereka. Operasi perniagaan kami diteruskan seperti biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette