SEREMBAN – Seorang wanita yang membenarkan anak lelakinya berusia 10 tahun memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini.
Majistret Marlissa Mohd Fahmy membuat keputusan itu selepas orang kena saman (OKS) berusia 46 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca.
Pekerja pembersihan itu membenarkan anak lelakinya memandu kereta Toyota Corolla pada 3 September lepas di Jalan Arowana 2 Taman Arowana Impian pada 9 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa manakala OKS tidak diwakili peguam.
Pusppa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana sebagai ibu kepada tiga cahaya mata wanita itu tidak sepatutnya membenarkan anak bawah umur memandu kenderaan yang boleh membahayakan keselamatan anaknya sendiri dan orang awam.
Tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jumlah denda kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan selain perlu membantu keluarga menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.
Wanita itu juga berdepan penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda. – Bernama