CYBERJAYA – Penyedia rangkaian 5G negara, Digital Nasional Bhd (DNB) hari ini melaksanakan demonstrasi pengujian bas tanpa pemandu (berautonomi).
Demonstrasi berkenaan disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Gobind Singh berkata, bas tersebut dilengkapi dengan jaringan 5G dan teknologi sensor, radar dan data visual secara automatik yang diuji dikawasan-kawasan yang dibenarkan.
Katanya, bas tanpa pemandu ini akan meningkatkan lagi taraf hidup selain seiring dengan usaha kerajaan untuk meluaskan pedigitalan dalam negara.
“Sebenarnya, projek ini telah pun bergerak sejak awal tahun ini dan kita lihat bagaimana lebih kurang 1,000 jam ujian dengan menggunakan bas tersebut telah pun dilaksanakan. Semasa pemeriksaan kita ada safety driver yang duduk dalam bas tersebut untuk pastikan pergerakan dalam bas itu adalah pergerakan yang lancar,” katanya ketika sidang media.
Projek pembangunan bas tanpa pemandu yang berteknologi canggih itu merupakan kerjasama di antara BNB dan Ericsson dengan eMooVit Technology Sdn Bhd.
Selain Cyberjaya, bas tanpa pemandu itu juga sedang diuji di laluan tertentu di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meluluskan pembuktian konsep (POC) untuk projek bas tanpa pemandu itu dijalankan.
Jelas beliau, selain penilaian agensi di bawah MOT itu, pindaan undang-undang juga diperlukan sekiranya kerajaan benar-benar ingin melaksanakannya kelak khususnya berkaitan perlesenan.
Selain bersikap terbuka dengan potensi penggunaan bas tanpa pemandu seperti di negara lain, Anthony berkata, kementerian tersebut dalam masa yang sama perlu memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan.
“Kita kena tengok juga sama ada bas tanpa pemandu ini boleh dikomersialkan kalau tidak, tidak guna kita perkenalkannya. Dari segi MOT, itu memang dibawah bidang kuasa kita di bawah Akta Pengangkutan Jalan sudah tentu beberapa pindaan diperlukan umpamanya seperti pelesenan pemandu.
“Umum diketahui, kalau kita nak bawa bas kena ada lesen Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) jadi dalam keadaan ini bas tanpa pemandu bagaimana kita hendak membenarkannya, ia memerlukan pindaan tetapi bagi saya sebagai Menteri MOT, bersikap terbuka… tapi dalam masa 10 hingga 20 tahun tahun, mungkin kebanyakan sistem pengangkutan awam kita sudah tidak lagi menggunakan manusia sebagai pemandu.
“Jadi kita mengambil langkah awal untuk melihat sejauh mana kita boleh laksanakan dan sudah tentu kita boleh membuat langkah-langkah pindaan undang-undang untuk menyokong pendigitalan kenderaan ini,” katanya lagi.
Anthony turut mencadangkan bas tanpa pemandu digunakan di beberapa kawasan tertentu seperti di Lembah Klang khususnya di kawasan-kawasan Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) pelabuhan-pelabuhan dan lapangan terbang. – MalaysiaGazette