KUALA LUMPUR – Empat individu, termasuk dua wanita, dicekup kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menarik dan mencuri kabel di Taman Bukit Teratai, Ampang, Selangor, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.30 pagi.

Katanya, ketika anggota polis membuat rondaan telah dimaklumkan terdapat beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan menarik kabel disyaki untuk dicuri.

“Apabila pengadu sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai dinaiki semua suspek bertindak melarikan diri.

“Kenderaan suspek bertindak mengundurkan kenderaan melanggar bahagian hadapan bumper MPV polis dan kemudian terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, turut berlaku adegan kejar mengejar lebih kurang 200 meter sebelum kenderaan suspek melanggar pembahagi jalan di persimpangan masuk dan terus hilang jejak.

Mengulas lanjut Mohd Azam berkata, bertindak hasil maklumat pihaknya berjaya menangkap dua lelaki dan dua wanita tempatan di Kajang, Selangor, Rabu lalu.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 32 tahun ditahan bersama beberapan barang rampasan antaranya sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa alatan memotong kabel.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dua suspek mempunyai rekod lampau berkait dadah dan samun manakala dua lagi tiada rekod lampau,” jelasnya.

Ujar beliau, dua suspek ditahan reman sehingga 10 September berkait kes kecurian kabel manakala dua lagi telah dibenarkan jaminan polis pada Sabtu lalu.

Susulan itu, kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan merujuk kepada menghalang penjawat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast