Datuk Seri Mohamad Sabu menaiki MRT khas MAHA untuk ke MRT UPM bagi bersama-sama dengan pihak media dalam Media Tour MAHA 2024

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 menyambut ulang tahun ke-100 dengan pelbagai tarikan baharu yang disasarkan untuk memperkasa sektor pertanian negara.

Acara yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dijangka menjadi pameran paling berprestij dan berskala besar dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pameran kali ini bertepatan dengan sambutan 100 tahun MAHA dan pihaknya optimis pameran kali ini akan mencatatkan kehadiran lebih tiga juta pengunjung.

Katanya, sasaran perjanjian bernilai RM6 bilion melalui memorandum persefahaman (MoU) serta jangkaan 4,000 permohonan pembiayaan menjadikan MAHA2024 sebagai platform strategik untuk pelabur dalam sektor pertanian.

Acara bertemakan ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’ itu turut menarik perhatian dengan pelbagai elemen baharu yang menonjolkan aspek kelestarian dan inovasi dalam sektor pertanian.

Datuk Seri Mohamad Sabu berucap dalam sidang media ketika lawatan ke tapak sambutan MAHA 2024

“MAHA 2024 bukan pameran biasa tetapi satu arah memperkasakan bidang pertanian dan tarik minat anak muda menceburi bidang ini.” katanya pada sidang media Media Tour MAHA 2024.

Segmen utama seperti MAHA Go Global memfokuskan kepada penglibatan antarabangsa, yang mana 16 negara telah mengesahkan penyertaan, termasuk Amerika, Rusia, Jepun, Thailand, dan Indonesia, dalam usaha mempromosikan kerjasama dan pelaburan global.

MAHA 2024 akan berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September ini bakal menampilkan 48 segmen menarik, termasuk Magical Art Night Water Show, Agro Fit, Floating Market serta pelbagai aktiviti interaktif.

Pameran ini turut memberi fokus kepada pelbagai kategori pertanian seperti Agro-Tech, Agro-Lifestyle, dan Agro-Tourism, yang menonjolkan inovasi serta kepentingan sektor pertanian dalam mendepani cabaran masa depan.

Menurut Mohamad, kemudahan seperti bas percuma dari beberapa lokasi strategik termasuk stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan kemudahan khas untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) turut disediakan.

“Saya berharap pengunjung yang datang boleh terus memeriahkan MAHA sehingga malam,

“Insyaallah waktu MRT boleh beroperasi sehingga lewat malam dan akan berbincang dengan pihak Prasarana,” ujarnya. – MalaysiaGazette