KOTA TINGGI – Seramai 38 mangsa pencemaran bahan kimia di Kampung Orang Asli Pasir Intan di sini dipindahkan ke Balai Raya Kampung Orang Asli Kampung Sayong Pinang sejak 5 September lalu.
Pemindahan melibatkan 10 keluarga itu dilakukan selepas mangsa mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.
Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff berkata, penduduk dipindahkan ke balai raya tersebut selepas bimbang keadaan akan bertambah buruk.
“Pencemaran bau daripada bahan kimia tersebut dikesan pada 4 September lalu dan apabila penduduk mengalami loya, pening kepala dan muntah mereka dipindahkan ke balai raya ini.
“Usaha memindahlan mereka dilakukan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim pada malam 5 September selepas mangsa terbabit mendapat rawatan di klinik kesihatan.
“Pemindahan perlu dilakukan kerana bau yang sangat kuat berikutan lokasi pembuangan bahan kimia itu di Sungai Linggiu hanya 1 kilometer dari Kampung Orang Asli Pasir Intan,” katanya ketika ditemui di balai raya itu hari ini.
Hamdan berkata, pada hari kejadian penduduk kampung dapat menahan sebuah lori tangki yang membuang cecair hitam dipercayai bahan kimia di sungai tersebut.
Beliau mendakwa, itu merupakan kali ketiga pihak berkenaan membuang bahan kimia di sungai tersebut sehingga memberi kesan yang teruk terhadap penduduk.
“Apabila penduduk menyoal pemandu dan kalindan lori tersebut, mereka mengaku mengambil upah dari sebuah kilang di Skudai untuk membuang bahan kimia di sungai tersebut,” katanya.
Kedua-duanya kata beliau, sudah diserahkan kepada polis untuk tahanan reman dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Kali pertama mereka membuang bahan kimia seminggu sebelum kejadian ketiga manakala kali kedua adalah dua hari sebelum kejadian ketiga itu,” katanya.
Beliau berharap, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkaitan segera mengambil tindakan termasuk membersihkan kawasan sungai tersebut yang masih tercemar dengan bahan kimia.
Seorang mangsa, Tuasa Abu, 48, mendakwa dia dan suami serta anak bongsunya mengalami pening kepala, muntah dan demam sehingga kini akibat pencemaran tersebut.
“Bau pencemaran itu busuk seperti bau gas. Suami saya yang menghidap semput mengalami sesak nafas. Ini kejadian pencemaran paling teruk setakat ini sehingga terpaksa dipindahkan,” katanya.
Rozaha Sita, 32, yang baru melahirkan anak keempat berusia 22 hari dan tinggal di penempatan sementara itu sejak hari pertama dibuka turut mengalami simptom yang sama.
“Saya dan suami mengalami pening kepala dan anak pula kembung perut. Mujur bayi saya yang lahir pada 18 Ogos lalu tidak apa-apa.
“Kami terpaksa memakai pelitup hidung dan mulut selepas tiga jam bau busuk berkenaan tidak hilang sebelum diarah berpindah ke balai raya ini,” katanya.- MalaysiaGazette