KUANTAN – Mana-mana ahli pertubuhan mengamalkan akidah Islam yang salah atau amalan tasawuf yang diselewengkan dinasihatkan supaya bertaubat.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, golongan itu hendaklah mendedahkan amalan mereka agar ulama boleh memberikan pandangan dan saranan.
“Jika amalan-amalan ini disembunyikan, tuduhan-tuduhan akan terus berlaku kepada mereka dan ini akan menimbulkan persepsi kepada orang ramai mereka sememangnya mempunyai modus operandi untuk menutup ruang bagi memperbaiki kesilapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat tidak menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak selagi belum ada pengesahan mereka melakukan kesalahan.
Sebaliknya masyarakat boleh mengambil langkah berhati-hati.
Tambah Dr. Asmadi, sesebuah pertubuhan atau syarikat yang menjalankan perniagaan mesti mempunyai akad yang jelas dengan setiap pekerja mereka.
Sebagai majikan hendaklah dinyatakan mengenai data-data tentang spesifikasi kerja dan jumlah gaji yang akan diperoleh selain menyediakan slip serta pekerja mestilah bebas menerima serta memegang imbuhan kerja mereka.
“Pekerja boleh menyumbang semula sebahagian atau semua gaji mereka kepada majikan (walau tindakan sebegini adalah pelik bila menyumbang semula pada majikan).
“Namun sumbangan tersebut hendaklah datang daripada kehendak mereka sendiri iaitu bebas tanpa apa-apa tekanan atau paksaan.
“Syarikat tidak boleh mengaitkan kesetiaan kepada organisasi sebagai ketaatan kepada agama kerana tindakan tersebut seperti menggunakan agama untuk kepentingannya,” katanya. – MalaysiaGazette