PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dan cap palsu dalam satu operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 September lalu.
Operasi yang dijalankan pada jam 12.20 tengah hari itu dilakukan USJ Subang di Selangor serta Jalan Raja dan Jalan Desa Bakti di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah bertindak berdasarkan risikan selama sebulan dan dipercayai telah beroperasi selama sembilan bulan dan berpusat di sebuah premis kediaman di Jalan Desa Bakti, Kuala Lumpur.
“Dalam operasi itu, seramai tiga orang warga asing termasuk dua lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga India yang telah tinggal di sini melebihi tempoh masa.
“Manakala kedua-dua lelaki itu mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, hari ini.
Pasukan operasi pada awalnya digerakkan ke Subang Jaya, Petaling Jaya menahan seorang lelaki dan wanita yang menaiki kenderaan Honda City.
“Seterusnya, hasil siasatan telah membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki warga Pakistan bernama ‘Azhar’ di Jalan Raja, Kuala Lumpur yang merupakan dalang utama sindiket ini.
“Sindiket terbabit menyasarkan warga asing dari negara sumber seperti Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka, Indonesia dan India yang tiada dokumen perjalanan dan pas untuk tinggal di negara ini, ” tambahnya.
Kadar bayaran yang dikenakan untuk cap keselamatan adalah sebanyak RM100 hingga RM300, pelekat PLKS sebanyak RM150 hingga RM300 mengikut kualiti, lesen kenderaan Pakistan berharga RM100 hingga RM200 dan Pas Khas yang sebanyak RM800 hingga RM1000.
“Turut dirampas 16 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada satu naskhah pasport Malaysia disyaki palsu, tujuh naskhah pasport Egypt, tiga naskhah pasport Pakistan, dua naskhah pasport Syria, satu naskhah pasport Filipina, satu naskhah pasport Algeria, satu naskhah pasport Yaman, satu unit komputer riba, satu unit pencetak, satu unit pencetak gambar.
“Selain itu, 50 keping pelekat PLKS disyaki palsu, 28 unit cap keselamatan masuk dan keluar milik Imigresen pelbagai negara disyaki palsu, hologram, satu keping kad pengenalan Malaysia disyaki palsu dan satu keping lesen memandu Malaysia disyaki palsu. Turut disita sebuah kenderaan jenis Honda City dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi,” jelasnya.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil kerana telah melakukan kesalahan dibawah Sek.55D, Sek.56(1)(d), Sek.56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63, Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana -mana pihak yang didapati bersalah di bawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegasnya. – MalaysiaGazette