KUALA LUMPUR Penaung dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk Sivakumar Nadarajah mempersoalkan niat pemimpin DAP, Nga Kor Ming dalam meringankan bebanan ibu bapa anak-anak cemerlang dengan menyalurkan sumbangan berbentuk wang ringgit.
Beliau mendakwa syarat yang dikenakan oleh Pengerusi DAP Perak itu pelik yang mana bantuan hanya akan diberikan jika menjadi ahli DAP.
“Pengumumun oleh YB Nga Kor Ming mengenai Bantuan Siswa Anak DAP semasa Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak menarik perhatian semua pihak, pastinya bantuan seumpama ini satu inisiatif yang harus mendapat pujian semua pihak. Saya sambut baik jika ianya diberikan tanpa syarat,” katanya
Baru-baru ini, Kor Ming yang menghadiri Konvensyen DAP Perak mengumumkan penubuhan ‘Tabung Bantuan Siswa Anak DAP’, yang akan menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, dengan syarat wajib menjadi ahli DAP.
Menurut Sivakumar, tindakan tersebut umpama umpan bagi menambahkan bilangan ahli parti itu.
Tambah beliau, walaupun DAP sering mencanangkan ia merupakan parti pelbagai kaum dan akan berjuang untuk semua lapisan masyarakat namun dengan syarat yang dikenakan itu tidak boleh diterima.
Katanya, parti-parti politik seperti MIC dan MCA juga beri biasiswa dan bantuan pendidikan namun mereka tidak mengenakan syarat seperti itu. – MalaysiaGazette