KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tiba di Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai isu sijil halal yang didakwa membebankan peniaga.
Beliau yang diiringi peguam, Syahredzan Johan tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 9.42 pagi.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Teresa akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.
Terdapat beberapa saksi lain yang akan dipanggil antaranya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan ditentukan kemudian, katanya.
Razarudin berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Prosedur operasi standard (SOP) siasatan babit 3R (bangsa, agama dan institusi raja) akan dijalankan setelah laporan polis diterima, ujarnya.
Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara. – MalaysiaGazette