Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama jemaah menteri selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) Ke-17 di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina di Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi negara menerusi sektor ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan Perindustrian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di bawah rangka kerja Ekonomi Madani, beliau memberi jaminan kerajaan akan memberi keutamaan kepada peningkatan landskap ekonomi dan bersedia membuat pengubahsuaian yang perlu kepada sistem serta dasar sedia ada.

Menurutnya, Malaysia sentiasa terbuka kepada nasihat pelabur untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaburan dan inovasi.

“Dalam dunia yang penuh dengan cabaran apabila berdepan peningkatan ketidakstabilan dan ketidakpastian, usahawan Cina di peringkat global boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga kerjasama ekonomi serantau bagi memastikan keselamatan rantaian bekalan dan mempromosikan agenda pembangunan sosio-ekonomi di luar negara.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, terdapat usahawan Cina bekerjasama rapat dengan pihak lain dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentasi sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia Ke-17 di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) Ke-17 di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2024.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengakui kerjasama strategik antara Malaysia dan China selama ini telah memperkukuh ekonomi negara.

Menurut Perdana Menteri, China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan hampir AS$100 bilion (RM436 bilion).

Katanya, lawatan Perdana Menteri China, Li Jiang pada 18 Jun lalu juga telah mengerat hubungan dengan memeterai kitaran kedua Program Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan lima tahun.

“Ini bermakna kami telah meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama yang dipertingkatkan dalam bidang baharu, utama dan inovatif, sektor-sektor yang akan memacu ekonomi ke hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) Ke-17 di Kuala Lumpur Convention Centre. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2024.