Tiga individu ditahan berhubung kes rasuah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk dua pegawai penguat kuasa direman empat hari bermula hari ini dipercayai menerima rasuah berjumlah RM30,000 pada tahun 2021 dan 2022.

Perintah reman sehingga 14 September itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah sebagai balasan menukar keputusan laporan kimia melibatkan dua kes siasatan atas kesalahan narkotik.

Katanya lagi, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita  berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu telah ditahan sekitar jam 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Dua suspek utama yang merupakan pegawai penguat kuasa dipercayai masing-masing menerima rasuah berjumlah kira-kira RM15,000 sebagai balasan untuk menukar keputusan laporan kimia melibatkan dua kes siasatan narkotik yang berbeza.

“Suspek disyaki menerima rasuah secara berasingan melalui transaksi pindahan wang yang berlaku pada 2021 dan 2022 ke akaun milik suspek daripada akaun bank suspek ketiga yang ditahan kerana disyaki turut bersubahat meminta dan menerima rasuah bagi pihak suspek utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette