Foto AFC.

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan Indonesia kembali memintas Malaysia dalam kedudukan tidak rasmi ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas seri tanpa jaringan menentang Australia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.

Ia adalah keputusan seri kedua negara jiran itu selepas turut ikat Arab Saudi 1-1 beberapa hari lalu.

Sementara itu, keputusan seri ke atas Australia menyaksikan mereka mengutip +8.57 mata sekaligus melonjak ke kedudukan 130 dunia mengatasi Malaysia di tangga 131.

Ini kerana saingan Kelayakan Piala Dunia menawarkan mata lebih tinggi berbanding aksi persahabatan antarabangsa tier 1.

Sebelum itu, skuad kendalian Shin Tae Yong tersebut mengutip +6.88 mata selepas ikat Arab Saudi dan unu menjadikan jumlah mata keseluruhan dikumpulkan Indonesia meningkat sebanyak 1124.17 berbanding Malaysia (1117.68).

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya buat sementara waktu kerana ia bergantung kepada keputusan pasukan lain yang beraksi dalam aksi persahabatan dan juga saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Indonesia berpotensi melonjak beberapa anak tangga dan berpeluang berada dalam kelompok 120 dunia jika konsisten mengutip mata pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan datang.

Mereka dijadualkan bertemu Bahrain dan China pada Okktober depan dan ini peluang terbaik untuk mengutip mata ranking yang lebih tinggi.

Sebelum ini, Indonesia muncul sebagai pasukan paling banyak mengutip mata ranking FIFA di dunia pada bulan Mac apabila mengumpulkan +30.04 mengatasi rekod lama mereka. – MalaysiaGazette