Penyanyi, Datuk Nora Ariffin bercakap ketika sidang media mengenai Konsert Hanya Satu di BsyncLive, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Impian Datuk Nora Ariffin untuk mengadakan konsert solonya bakal terlaksana di Stage 1 Theare, PJ Pac, 1 Utama E, Petaling Jaya pada 18 Disember ini.

Konsert berjudul Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) itu adalah sempena pembabitannya selama 30 tahun dalam industri muzik tanah air. 

Nora, 51, bersyukur kerana impiannya untuk mengadakan konsert solo akhirnya menjadi kenyataan.

“Konsert ini adalah khas buat peminat-peminat setia saya dan mereka yang sentiasa menyokong saya selama ini di mana ini adalah hadiah dan penghargaan saya buat anda semua.

“Ia juga adalah detik penting dalam kerjaya muzik saya. Jadi, saya akan pastikan saya memberi yang terbaik,” katanya pada sidang media konsert itu di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Nasser Abu Kassim iaitu individu yang bertanggungjawab mengambil Nora sebagai artis rakaman Warner Music pada tahun 1994.

Konsert itu dibawakan khas oleh syarikat Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures. 

Penyanyi, Datuk Nora Ariffin (dua kiri) bergambar pada majlis sidang media mengenai Konsert Hanya Satu di BsyncLive, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2024

Nora menambah, pihaknya mengucapkan terima kasih  atas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik. 

Nora menghargai sokongan kerajaan dalam memberi peluang kepada artis-artis seangkatannya untuk mengadakan konsert. 

Sementara itu, Pengurus Projek dan Penerbit konsert, Alita Aris berkata, pihaknya mahukan konsert yang eksklusif dan intimate khas buat peminat setia dan penyokong tegar Nora.

Dalam konsert berdurasi dua jam, Nora akan menyanyikan sebanyak 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya. 

Antara lagu-lagunya adalah Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.

Alita berkata, antara yang istimewa dalam konsert itu ialah segmen khas Tribute to Johan Nawawi sebagai memberi penghormatan buat allahyarham suami Nora.

“Selain sebagai komposer, penerbit dan penggubah muzik dihormati di tanah air,  arwah juga individu yang memainkan peranan penting dan tunggak kejayaan dalam kerjaya Nora sebagai penyanyi,” katanya. 

Dalam pada itu, menurut Alita, konsert itu mendapat sentuhan individu berpengalaman dalam industri muzik tanah air seperti Jennifer Thompson yang bertindak sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.  

Jennifer berkata, pembabitan dalam konsert itu sangat istimewa dan satu penghormatan buatnya.

“Nora memiliki vokal yang unik dan lagu-lagu yang ikonik dan gabungan bersama Aubrey Suwito pula pasti menjadikan ia satu persembahan yang cukup menarik,” katanya.

Harga tiket konsert itu bermula dari RM108 (Interlude), RM158 (Sandiwara), RM218 (Debaran), RM288 (Naluri), RM318 (Samudera), RM418 (Jentayu) dan RM518 (Kirana) untuk VIP dan Sessi Meet & Greet akan mula dijual hari ini melalui www.onetix.com.my.

Sementara itu, kerjaya profesional Nora bermula apabila dinobatkan Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) terbitan RTM pada 1991 dan sehingga kini beliau masih aktif dan telah menerima pelbagai anugerah. 

Memiliki vokal tersendiri dengan melodi menawan menjadikan Nora antara penyanyi wanita paling ikonik di tanah air. 

Sehingga hari ini, Nora memiliki 18 album studio dan kompilasi dan sudah merakam lebih 100 lagu. 

Selepas kelahiran album sulung, Sandiwara pada 1994, Nora bukan sahaja mencipta kemasyhuran di Malaysia tetapi turut memiliki pengikut yang ramai di Indonesia. 

Album itu mencatat jualan lebih 200,000 unit di Malaysia dan lebih 250,000 unit di Indonesia. – MalaysiaGazette