Flavour Mushroom: Dadah Baharu yang Mengancam Remaja
KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mendesak kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape ekoran penggunaan semakin meluas dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan remaja.
Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, kerajaan perlu menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar dengan kadar segera kerana terbaharu ‘flavour mushroom’ menyebabkan pelajar yang menghisap vape akan mengalami fenomena halusinasi.
Menurut carian di google, flavour mushroom, sejenis dadah baharu yang tersembunyi di sebalik penggunaan vape, semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan remaja yang masih berada di bangku sekolah.
“Trend ini amat membimbangkan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan bahan ini yang boleh membawa kesan sampingan yang serius”
“Penularan penggunaan dadah yang bersembunyi di sebalik produk vape ini bukan sahaja menjejaskan masa depan generasi muda, malah menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan awam” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wendy, terdapat 37 negara yang melarang jual beli vape tersebut seperti Singapura dan Thailand juga melarang sepenuhnya penjualan, penggunaan, dan pemilikan vape.
Jelas beliau, Kerajaan Malaysia seharusnya memberi perhatianĀ lebih serius dan mempertimbangkan untuk menguatkuasakan pengawalan ketat atau larangan sepenuhnya terhadap vape.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap laporan baru-baru ini yang terdapat pelajar menggunakan vape di tandas sekolah dan bilik darjah yang tidak digunakan.
Sehubungan itu Wendy menggesa, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape. – MalaysiaGazette