Datuk Seri S. Sundarajoo

GEORGE TOWN – Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo mengesahkan tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP negeri yang dijadualkan berlangsung pada 22 September ini.

Jelas beliau, borang penolakan pencalonan telah diserahkan selepas pukul 5 petang pada Isnin lalu dan disebabkan kelewatan tersebut namanya tidak sempat dikeluarkan daripada senarai calon yang diumumkan.

“Kelewatan tersebut (penghantaran borang penolakan) berlaku kerana saya sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan yang telah mencalonkan saya, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah menarik diri daripada bertanding mengejutkan sesetengah pihak namun Sundarajoo menekankan keputusan tersebut dibuat dengan penuh pertimbangan.

ARTIKEL BERKAITAN:

32 calon bersaing untuk pemilihan jawatankuasa DAP P. Pinang

Terdahulu, DAP Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 32 calon akan bertanding merebut 15 jawatan dalam pemilihan Jawatankuasan DAP negeri ini pada 22 September nanti. – MalaysiaGazette