Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Hari penamaan calon (HPC) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diadakan di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bakal-bakal calon perlu mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum HPC.

“Mereka juga perlu membuat pembayaran deposit lebih awal. Resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.

“Bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

“Kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di PPC di Dewan Tunku Ibrahim Ismail,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui kenderaan serta larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan pada HPC.

Jelasnya, ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Tambah beliau, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT).

SPR menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan PBT.

“Ini bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.

Selain itu, beliau pernah dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital, Mac lalu, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast