Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan 402 kanak-kanak yang diselamatkan di rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dipercayai dipisahkan daripada keluarga masing-masing sejak berusia dua tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perkara itu terbongkar hasil temu bual bersama mangsa dan dipercayai mungkin mereka adalah generasi ketiga serta keempat di bawah GISBH.

“Pembesarannya memang di dalam taman asuhan tersebut dan hasil risikan dimaklumkan kanak-kanak ini berusia dua tahun  akan diasingkan daripada keluarga.

“Kanak-kanak ini akan ditempatkan di rumah amal itu selepas ibu bapa mereka pergi ke Arab Saudi dan Turkiye selama enam tahun. Namun kita belum pasti sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya.

“Jadi, ini satu kesalahan pengabaian, penganiayaan dan pendedahan kepada mangsa. Malah kita percaya ada antara kanak-kanak itu sudah beberapa tahun tidak berjumpa ibu bapa mereka,” jelasnya pada sidang media khas di sini hari ini.

Bagaimanapun, Razarudin tidak menjelaskan tujuan ibu bapa kepada kanak-kanak itu ke luar negara sama ada bagi tujuan perniagaan, kerjaya atau sebaliknya.

Pada Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan di rumah amal dikaitkan GISBH disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi dilakukan di rumah amal itu dengan mengajar dan mendidik mangsa cara meliwat seterusnya mereka diliwat penjaga dan dipaksa melakukan perbuatan itu kepada penghuni lain. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat dakwa diliwat, ada sembilan lagi kanak-kanak jadi mangsa – KPN