Kastam berjaya merampas arak tidak bercukai di Pelabuhan Utara baru-baru ini.- Gambar ihsan gambar Kastam Malaysia.

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket penyeludupan membawa masuk minuman keras melalui Pelabuhan Utara di Klang  dengan mengikrarnya sebagai perabot dan jaring ikan akhirnya terbongkar.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya berjaya menumpaskan dua kes penyeludupan barang kontraban membabitkan minuman keras apabila merampas 4,902 liter arak bernilai RM305,000 termasuk cukai dan duti.

“Dalam kes pertama pukul 5.15 petang 30 Ogos lalu, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk sebanyak 1,372 liter minuman arak disyaki tidak berkastam melalui penahanan sebuah kontena.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket itu membuat pengikraran yang tidak benar mengisytiharkan minuman arak sebagai produk perabot di Borang Kastam 1 bagi mengaburi pihak berkuasa selain meletakkan dagangan di bahagian belakang kontena bersama barangan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kastam berjaya merampas arak tidak bercukai yang diikrar sebagai perabot dan jaring ikan oleh sindiket seludup pada 30 Ogos dan 2 September lalu.- Gambar ihsan gambar Kastam WPKL.

Tambah Norlela, dalam kes kedua, pasukannya telah menyerbu Pelabuhan Utara dan menahan sebuah kontena pada pukul 8.20 malam pada 2 September lalu.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kontena itu berjaya membawa kepada penemuan sebanyak 3,530 liter minuman keras yang disyaki tidak bercukai.

“Siasatan juga mendapati sindiket yang bertanggungjawab membuat ikrar palsu di Borang Kastam 1 dengan mengikrar dagangan tersebut sebagai jaring ikan yang diimport dari negara jiran,” katanya.

Kedua-dua kes itu kini sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kastam turut menagih kerjasama orang ramai agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan kegiatan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast