Taman Buaya antara tempat tarikan pelancongan di Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 04 SEPTEMBER 2024.

MULAI Jumaat petang, kenderaan di jalan raya utama mulai bertambah kerana cuti sekolah sudah bermula. Cuti sekolah merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar sama ada si kecil sekolah rendah mahupun abang dan kakak di sekolah menengah. Malah, bukan hanya pelajar sekolah sahaja berdebar menunggu kedatangannya, tetapi golongan ibu bapa juga tidak terkecuali bercampur baur perasaan bila datangnya musim cuti persekolahan.

Bagi pelajar, cuti sekolah bermakna rutin harian mereka yang memerlukan untuk bangun di awal pagi, bergelut bersiap untuk ke sekolah dan mengikuti kelas yang bersilih ganti akan ‘terhenti’ seketika. Pakaian seragam, buku latihan dan jadual pembelajaran diletakkan jauh-jauh dahulu kerana bagi mereka, ada rutin baharu yang ingin dibuat atau dicuba semasa cuti persekolahan.

Pelajar sekolah zaman ini atau zaman dahulu, bagi penulis ragamnya sama sahaja iaitu cuti sekolah bermakna apa yang berkaitan rutin sewaktu bersekolah ingin dilupakan seketika. Bagi ibu bapa pula, cuti sekolah bermakna anak-anak perlu diuruskan masa panjang di waktu siang mereka yang kosong dengan pengisian yang bersesuaian dan inilah yang mencabar. Jika semasa hari persekolahan, ibu bapa kurang pening kerana dari pagi sehingga petang anak-anak ‘hidupnya’ di sekolah mengikut rutin yang telah ditetapkan. Tetapi apabila cuti persekolahan, mahu tidak mahu ibu bapa pula perlu mengambil tanggungjawab menyusun rutin anak mereka bermula dari pagi hinggalah sekurang-kurangnya sampai ke lewat petang.

Di sebalik erti cuti sekolah yang menjadikan anak-anak ini bebas seketika dari norma biasa hari persekolahan, namun ia tidak bermaksud masa-masa di sepanjang cuti persekolahan perlu dibazirkan begitu sahaja. Peribahasa Melayu ‘masa itu emas’ perlu dijadikan pedoman, justeru ibu-bapa dan adik beradik yang telah dewasa wajar membimbing ahli keluarga yang masih bersekolah untuk memanfaatkan cuti persekolahan dengan aktiviti yang berfaedah.

Antara cadangan penulis untuk memanfaatkan cuti sekolah pelajar pertamanya adalah dengan melancong secara domestik atau ke luar negara. Objektif utama cuti persekolahan adalah untuk memberi istirehat kepada pelajar dan guru-guru terutamanya yang telah berminggu-minggu berusaha memberikan yang terbaik dalam pembelajaran dan pengajaran.

Justeru itu, cuti sekolah adalah masa untuk mereka berehat dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Melancong dapat mengalihkan perhatian pelajar kerana dari memberi mereka rasa keseronokan dan kelegaan jiwa. Jika diimbau kenangan persekolahan lalu, jarang penulis dan teman sekolah punyai peluang semasa cuti sekolah untuk pergi ke tempat peranginan terkenal atau berkunjung ke tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Faktor ekonomi adalah sebab utama mengapa ibu bapa memilih untuk tidak membawa anak-anak ke tempat tersebut kerana memerlukan perbelanjaan yang besar

Oleh itu, ibu bapa boleh merancang percutian bajet yang mengikut kemampuan masing-masing untuk membawa anak-anak melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi pada waktu cuti persekolahan. Banyak pilihan tempat pelancongan untuk dikunjungi kini kerana akses jalan raya dan kenderaan pengangkutan yang pelbagai memberi kelebihan kepada penjimatan masa dan kewangan.

Cadangan kedua adalah memanfaatkan masa cuti dengan bergotong-royong membersihkan rumah dan kawasan sekitar bersama-sama. Melalui aktiviti, ia sebenarnya adalah medium yang paling sesuai untuk ibu bapa mendidik para pelajar tentang pengurusan diri dan ruang rumah agar sentiasa bersih dan kemas. Pada permulaan, mungkin ibu bapa akan mendapati kesukaran untuk mengajar anak-anak dalam membuat kerja-kerja rumah kerana mereka leka dengan telefon dan gajet. Tetapi di sinilah perana ibu bapa untuk memberi pendedahan secara berterusan dan mengajar kerana kelak akan melahirkan anak-anak yang berdikari dan berdisiplin.Cuma pesan penulis, mulakan mengajar anak-anak kerja rumah yang mudah dan tingkatkan kemahiran mereka secara berperingkat. Pasti hasilnya akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

Pengisian terakhir adalah memfokuskan kepada pengisiaan jiwa dan kerohanian. Ambil peluang untuk menghantar anak ke kem motivasi untuk membentuk dan meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia yang kian menguji. Melalui penglibatan dalam kem-kem ibadah yang kebiasaanya diterajui oleh masjid akan mempersiapkan anak-anak ini dengan kemahiran asas tetapi penting seperti ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran. Mempunyai kecenderungan untuk mendalami agama pada waktu umur masih di bangku sekolah adalah satu dampak yang amat positif.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan pelajar untuk mendapat manfaat sepanjang cuti persekolahan berlangsung. Ia bergantung kepada kesedaran diri atau ibu bapa yang ingin mencari aktiviti yang mendatangkan faedah kepada pelajar sepanjang tempoh tersebut. Lebih utama di sebalik semua cadangan aktiviti yang penulis kongsikan tersebut, hakikatnya setiap aktiviti yang dilakukan secara bersama-sama tersebut akan membentuk ikatan kekeluargaan yang erat bersama sesama ahli keluarga.

Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini Othman

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi