Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Muktamar Pas Kali ke-70 di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Pas mengusulkan pindaan perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu daripada lompat parti.

Usul tersebut dibentangkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Jelas beliau, syor pindaan anti lompat parti itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga perlembagaan negeri.

“Peruntukan itu berbunyi, setelah seseorang ahli dipilih sebagai ADUN atau Ahli Parlimen, keahlian mereka akan terhenti serta-merta apabila melakukan mana-mana perkara seperti menyertai atau menyatakan sokongan terhadap parti atau pakatan politik yang tidak disokong Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan, keahlian juga terhenti sekiranya ahli Parlimen dan ADUN Pas tersebut memilih untuk menjadi ahli bebas.

“Maka dalam mana-mana keadaan ini, wakil rakyat Pas tersebut dikira terhenti menjadi ahli Pas.

“Bila terhenti jadi ahli, maka kerusinya mesti dikosongkan,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut beliau, sekiranya ahli Parlimen dan ADUN Pas dipecat parti, kerusi mereka tidak akan tergugur .

“Ia hanya melibatkan seseorang ahli Parlimen atau ADUN yang diberhentikan, terhenti atau terpecat kerana perbuatan-perbuatan yang dianggap telah melakukan kesalahan anti lompat parti.

“Kita perlu masuk peruntukan ini kerana parti-parti lain dah masukkan dalam parti mereka,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast