MBSP giat lakukan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di sekitar Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memaklumkan pihaknya menerima 174 laporan pokok tumbang di sekitar Seberang Perai sejak Selasa susulan hujan lebat berserta angin kencang.

MBSP dalam kenyataan berkata, sehingga jam 4.24 petang tadi, kerja-kerja mengalihkan dan membersihkan pokok tumbang serta dahan patah dilakukan bagi membolehkan semua kawasan terjejas selamat digunakan orang awam.

“Sebanyak 99 aduan kejadian pokok tumbang diterima hari ini yang mana 29 daripadanya telah diselesaikan manakala 70 lagi masih dalam tindakan pihak kami.

“Memandangkan terdapat banyak pokok tumbang akibat ribut pada tengahari tadi, kita gerakkan kesemua pasukan dan logistik ke seluruh kawasan Seberang Perai untuk kerja-kerja pengalihan dan pembersihan sisa-sisa pokok tumbang ke tapak pelupusan.

“MBSP bertungkus lumus menyelesaikan semua aduan berkaitan yang diterima” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol MBSP 1-800-88-6777 bagi memaklumkan kejadian pokok tumbang agar kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan. – MalaysiaGazette