Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) menyediakan Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) bagi membantu pekebun kecil sawit menanam semula pokok sawit tua.

Skim TSPKS 2.0 ditawarkan dengan jumlah RM14,000 sehektar bagi Semenanjung dan RM18,000 sehektar bagi pekebun kecil sawit persendirian di Sabah dan Sarawak.

Ia melibatkan tempoh pembiayaan selama 12 tahun dan bagi memudahkan peminjam, bayaran semula ansuran hanya bermula pada bulan ke-49 dari tarikh pinjaman.

Menurut MPOB, TSPKS 2.0 juga berkonsep geran padanan di mana jumlah bayaran semula kepada Agrobank adalah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan.

Inisiatif tersebut bertujuan menyediakan kemudahan kewangan kepada pekebun kecil melaksanakan aktiviti penanaman semula sawit bagi menggantikan pokok sawit tua yang tidak produktif.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penanaman semula sawit memerlukan modal yang besar untuk bekalan anak benih, penyediaan dan penyelenggaran kebun sehingga pokok sawit mula mengeluarkan hasil menjelang tahun keempat.

“Pekebun kecil sawit sukar menyediakan sejumlah wang sekali gus bagi kos tanaman semula sawit dan memerlukan pembiayaan modal, inisiatif TSPK 2.0 memberi manfaat untuk pekebun kecil melaksanakan tanaman semula sawit bagi meningkatkan pendapatan hasil ladang sawit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak dilaksanakan pada awal tahun 2024, MPOB telah menerima sejumlah 1,996 permohonan Skim TSPKS 2.0 meliputi keluasan 6,723.89 hektar milik pekebun kecil sawit.

Sehingga 13 September 2024, hampir separuh daripada peruntukan telah diluluskan dengan jumlah nilai pembiayaan sebanyak RM45.25 juta.

Berdasarkan laporan bancian oleh MPOB pada Jun 2024, terdapat sekurang-kurangnya 71,130 hektar pokok sawit tua yang berusia melebihi 25 tahun yang diusahakan oleh pekebun kecil sawit persendirian, manakala sekitar 479,526 hektar secara keseluruhan keluasan pokok sawit tua di seluruh negara.

Dalam usaha mendepani era permintaan minyak sawit mampan, industri sawit Malaysia mempunyai kelebihan dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan kepada semua penanam sawit termasuk pekebun kecil sejak Januari 2020.

Inisiatif TSPKS 2.0 bertujuan untuk mengembalikan daya produktiviti pekebun kecil sawit negara yang merupakan penyumbang kepada sebahagian besar pengeluaran minyak sawit negara.

Penanaman semula menggunakan baka sawit elit seperti Siri Klon Sawit 3 (CPS 3) dan Siri Sawit 1.1 (PS 1.1) yang mempunyai ciri pengeluaran minyak yang lebih tinggi dan kadar peningkatan ketinggian yang lebih perlahan bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan, malah menjimatkan kos dan kecekapan penuaian buah sawit.

Sempena Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB) 2024 pada Julai lalu, MPOB telah memperkenalkan Siri Klon Sawit 4 (CPS 4) yang mampu mengeluar hasil sehingga 50.8 kilogram minyak sawit setahun berbanding sekitar 46 kilogram minyak sawit setahun daripada baka Tenera.

Bahan tanaman ini juga mempunyai penghasilan bunga jantan yang lebih dominan, iaitu 13 tandan bunga jantan (male inflorescence – MI) sepokok setahun berbanding purata baka klon sawit lain iaitu 7 tandan MI sepokok setahun, dan 9.8 tandan MI sepokok setahun untuk baka Tenera.

Dalam pada itu, MPOB juga menawarkan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Ternakan Dengan Sawit (ITe) dan Skim Insentif Integrasi Tanaman Dengan Sawit (ITa) bagi menampung jurang kapasiti kewangan yang dialami pekebun kecil sawit persendirian.

Sehingga Ogos 2024, sebanyak 250 permohonan Skim IPPKS telah diterima oleh MPOB, dan pembiayaan sekitar RM1.127 juta telah pun diluluskan untuk kegunaan membeli input pertaniaan seperti baja, racun rumpai, cecair kawalan perosak, serta pembelian dan sewaan jentera ringan dan penyelenggaraan infrastruktur ladang oleh pekebun-pekebun kecil sawit meliputi kawasan tanaman sawit seluas 494.32 hektar.

Bagi Skim ITa dan ITe, sebanyak 519 projek integrasi tanaman merangkumi pisang, nanas, betik, jagung, tembikai, serai dan cendawan telah diluluskan , manakala 1,228 projek telah diluluskan kepada pekebun kecil sawit bagi mengusahakan ternakan ayam dan itik (ITe). -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here