Kontinjen PTPTN dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Permainan Tradisional Kategori Sektor Korporat

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyertai Pertandingan Permainan Tradisional Kategori Sektor Koporat sempena Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur (FPM@KL) 2024 yang diadakan pada 15 September 2024.

Festival ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan,
Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia telah berlangsung di Dataran Merdeka, di sini.

PTPTN melalui Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) telah menghantar seramai 80 peserta ke festival ini.

Kontinjen PTPTN telah diketuai oleh Ts. Ahmad Iskandar Ahmad Rashid yang juga merupakan Ketua Biro Sukan KSK PTPTN.

Penyertaan PTPTN dalam FPM@KL 2024 merupakan kali ketiga sejak mula menyertainya pada tahun 2022.

Keputusan FPM@KL itu telah menobatkan PTPTN sebagai juara
keseluruhan, manakala tempat kedua dimenangi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), tempat ketiga ialah Malaysia Airport Berhad (MAHB) dan tempat keempat ialah RHB Bank Berhad.

PTPTN telah memenangi empat pingat emas dan dua pingat perak.

Pingat, emas yang diperolehi PTPTN adalah menerusi acara memanah berpasukan wanita, kelereng berpasukan lelaki, menyumpit berpasukan lelaki dan tuju tin lelaki.

Manakala pingat perak diperolehi menerusi acara galah panjang wanita dan tarik tali lelaki.

PTPTN turut memenangi Busana Terbaik bagi kategori sepak raga ratus dan memanah tradisional.

Bagi juara keseluruhan, PTPTN telah menerima hadiah tunai berjumlah RM8,000 di samping membawa pulang Piala Pusingan FPM.

PTPTN turut menerima hadiah tambahan berjumlah RM1,000 dari Bank Simpanan Nasional (BSN) selaku penaja dan pakej percutian dua hari satu malam dari Hotel Seri Malaysia serta RM1,000 bagi juara pertandingan Khemah Terbaik.

Selain itu, hadiah berupa hamper turut diterima kerana berjaya memenangi Busana Terbaik bagi kategori sepak raga ratus dan memanah tradisional.

Penyampaian Hadiah FPM@KL 2024 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Haris diiringi Pengarah JKKNWPKL, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi.

Peserta PTPTN memenangi pingat perak Pertandingan Tarik Tali Lelaki

Turut mengambil bahagian dalam Kategori Sektor Korporat ialah
Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Bank Negara Malaysia (BNM), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas, PERKESO dan Etiqa Insurans & Takaful.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta dan pasukan sektor korporat yang menyertai FPM@KL 2024 terutamanya wakil peserta PTPTN kerana terus komited membawa perubahan dan transformasi seiring keperluan semasa dan membuka peluang kejayaan kepada semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast