KUALA LUMPUR- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Sabak Bernam melaporkan air pasang besar telah mula naik pada ketinggian 5.8 meter pada jam 5.30 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, APMM dalam kenyataan berkata, susulan itu terdapat beberapa kawasan telah dinaiki air kira-kira dua kaki (0.61 meter) pada jam 6.51 pagi.

Katanya, pemantauan dilakukan di mukim Sungai Panjang yang melibatkan Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 23.

Menurut kenyataan itu paras air laut di Pantai Batu 23 pada jam 7.20 pagi adalah tinggi menyebabkan air melimpah ditambah dengan cuaca gerimis.

Bagaimanapun, tiada rumah atau penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan yang terjejas disebabkan fenomena itu, setakat ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan air mulai surut jam 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, berhubung kejadian ban benteng pecah di kawasan tapak Projek Hakisan Pengukuhan Benteng Sg Apong, Benteng Kepah dan Sungai Lang, JPS memberitahu, tindakan segera akan diambil oleh pihak kontraktor.

Terdahulu, warga net berkongsi kejadian ban benteng pecah disebabkan fenomena air pasang besar yang mengakibatkan limpahan air laut di sekitar tapak projek berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast