Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan keatas seorang bekas guru Bahasa Arab di sebuah sekolah rendah kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berumur 10 tahun, dengan memegang kemaluan mangsa.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan ke atas seorang bekas guru Bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

Ia selepas perayu, Mohd Shahril Shaffie, 38, didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berumur 10 tahun, dengan memegang kemaluan mangsa.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azmi Ariffin termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,  Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menolak rayuan akhir tertuduh dan mengekalkan sabitan serta hukuman Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 2020.

Dalam prosiding, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit ataupun terkhilaf oleh hakim ketika bicara di dalam Mahkamah Sesyen dalam menjatuhkan hukuman penjara tersebut ke atas perayu.

Malah katanya, hukuman itu juga telah dikekalkan Mahkamah Tinggi pada Februari 2023 selain mahkamah turut tidak bersetuju dengan peguam perayu bahawa hukuman dijatuhkan hakim bicara adalah melampau.

“Mahkamah mendapati, hukuman yang dijatuhi bukan suatu melampau selain mengambil kira dalam kes ini, perayu adalah seorang tenaga pengajar dan diamanahkan untuk membimbing anak-anak.

“Namun perayu telah menyalahgunakan kedudukannya hingga menyebabkan mangsa mengalami trauma dan nama baik sekolah juga tergugt akibat tindakan perayu.

“Berikutan itu, mahkamah mendapati kesalahan perayu adalah serius. Oleh demikian, rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak serta perintah hukuman penjara dikenakan bermula hari ini,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Aizuddin Masrom berhujah, mangsa ketika itu berusia 10 tahun 8 bulan mengalami trauma akibat kejadian tersebut dan kesan trauma itu turut dialami ibu bapanya.

“Dalam kes ini, perayu didakwa telah meraba kemaluan dan menggosok kepala mangsa semasa di rumah perayu. Situasi itu menyebabkan mangsa perlu dibawa berjumpa dengan pakar kaunseling untuk memulihkan kesan trauma dialami pada anak kecil itu

“Bapa mangsa dalam keterangan menyatakan beliau tidak menyangka seorang ustaz yang mengajar anaknya bertindak melakukan perbuatan sedemikian dan ibu mangsa pula berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat kini adalah tempat yang tidak selamat untuk anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Aqbal Shifuddin Adnan Sallehuddin yang mewakili perayu berkata, anak guamnya telah insaf dan memohon mahkamah memberikan peluang kedua sebagai seorang pendidik untuk anak bangsa.

“Selain itu, anak guam saya seorang duda dan mempunyai slip disc yang masih di bawah pemantauan doktor dan perlu menanggung ibu bapanya yang masing-masing berusia 63 dan 65 tahun,” jelas peguam itu.

Pada 30 September 2020, Mahkamah Sesyen Putrajaya memutuskan Mohd Shahril didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap serang kanak-kanak lelaki dengan cara memegang kemaluan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan bagi tujuan seksual, antara jam 12.15 hingga 12.45 tengah hari pada 22 November 2018 di rumahnya di Subang Bestari dan didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Yong Zarida Sazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahril yang turut dipanggil ‘Ustaz’ dalam kalangan anak muridnya, kerana didapati bersalah pada akhir kes pembelaan.

Hakim juga mengarahkan Mohd Shahril yang ketika itu hadir bersama bapanya, perlu menjalani khidmat kaunseling pemulihan selama lapan tahun dan pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman penjara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast