Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena pilihan raya kecil N29 DUN Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah supaya tidak `memalukan’ beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan berlangsung Sabtu ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Syed Hussein perlu memastikan kemenangan BN pada PRK itu seterusnya berkhidmat dengan baik sebagai sebagai wakil rakyat.

Jelas beliau, sekiranya Syed Hussein mampu berkhidmat dengan baik, tidak mustahil pucuk pimpinan parti dengan sokongan kerajaan negeri akan mencalonkan beliau semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Syed Hussein jangan malukan abang (saya).

“Kena ingat tangan inilah yang menandatangani watikah (pelantikan calon PRK DUN Mahkota) atas persetujuan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi), jangan malukan saya dan mesti beri perkhidmatan dengan baik (kepada masyarakat India di DUN Mahkota).

“Jika menang pada PRK ini Syed Hussein kena ingat, masyarakat di sini mengharapkan khidmat yang baik daripada anda tanpa mengira kaum.

“Lakukan seperti mana saya lakukan di Bagan Datuk, sebab kalau kita sayangkan pengundi, undi itu akan datang kepada kita sebab perkhidmatan kita yang baik sebagai Yang Berhormat,” katanya.

Beliau berucap pada program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Taman Sri Kluang malam tadi.

Program itu mendapat sambutan luar biasa selepas dihadiri kira-kira 5,000 penduduk India selain disertai beberapa pemimpin antaranya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan sokongan pengundi India sangat unik yang mana mereka akan setia terhadap pemimpin dan parti yang banyak menabur jasa kepada mereka.

Disebabkan itu, ujarnya, beliau masih mendapat sokongan dan kepercayaan pengundi India di Bagan Datuk meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan pembangkang terhadapnya.

“Sekali mereka sayang, sampai bila-bila pun mereka akan taat setia kepada kita, tapi jangan pernah khianati mereka sebab sekali kita khianat, mereka akan ingat dan tidak akan mengundi kita lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here