Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mencapai kedudukan tertinggi sejak tahun 2016 dengan menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024.

Kedudukan itu menyaksikan peningkatan ketara setelah tiga tahun berturut-turut menduduki tangga ke-36, menunjukkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus menambah baik ekosistem inovasi negara dan seterusnya bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Malaysia kekal menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dari kalangan 36 negara pendapatan pertengahan atas berdasarkan Laporan GII 2024.

Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

Malaysia turut berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi tiga (3) sub-indicator iaitu Graduates In Science And Engineering, High-Tech Exports dan Creative Goods Exports.

Ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuhkan dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi yang turut dilaporkan dalam Laporan GII 2024.

Kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi buat kali pertama sejak tahun 2016 merupakan bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara.

Peningkatan prestasi Malaysia dalam GII dan kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi bukti komitmen kerajaan amnya dan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) khasnya untuk memperkukuhkan ekonomi negara berasaskan kepada inovasi.

Malaysia akan terus mempertingkatkan usaha untuk melabur dalam
modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

Bagi memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang tahun 2025, MOSTI dengan kerjasama semua kerajaan negeri sedang membangunkan Malaysia Innovation Index yang akan dilancarkan pada tahun 2025.

Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri, sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi yang bersesuaian ke arah memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.

Inisiatif ini adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast