Shu Qi ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Berkelompok Perpaduan di bandar Kluang, malam tadi.

KLUANG – Masih ramai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bekerja di Singapura tidak mengetahui akan berlangsung pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, walaupun hari pengundian tinggal dua hari lagi namun mereka tidak menyedari tentang PRK tersebut.

“Ini kerana perkembangan yang berlaku di Malaysia tidak akan dipaparkan dalam media sosial pengguna yang kurang membaca berita tentang negara ini.

“Masih ramai yang bekerja di Singapura tak tahu langsung ada PRK. Kenapa? Salah siapa? Mereka buka Facebook pun tak dapat berita PRK.

“Kerana algorithm Facebook tentukan mereka yang ada di Singapura, tak baca berita Malaysia, (jadi) tak tahu ada PRK,” katanya ketika berucap pada Ceramah Berkelompok Perpaduan di sini malam tadi.

Justeru beliau meminta masyarakat membantu menyampaikan maklumat mengenai PRK DUN Mahkota kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Jelasnya, tanpa bantuan mereka untuk memberitahu perkara itu, pengundi terbabit tidak akan balik mengundi.

“Sebenarnya mereka mahu balik kalau ringgit kita semakin kuat. Akan ada satu hari nanti mereka balik (terus) ke Malaysia dan kita nak anak-anak kita balik ke Malaysia dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang cukup lumayan,” katanya.

Selain itu, katanya, PRK DUN Mahkota bukan semata-mata proses untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah tetapi demi undi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PRK ini bukan hanya untuk pilih seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tapi pelabur sedang memantau PRK ini dan mereka nak lihat bolehkah calon Kerajaan Perpaduan menang (isyarat politik dan kerajaan stabil) kalau mereka melabur berbilion ringgit,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ini menyaksikan pertembungan Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan  Pemuda UMNO Kluang, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast