Seorang penunggang motosikal melintasi jalanraya yang dihiasi bendera-bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Jalan Selar, Kluang. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2024

ESOK kira-kira 61,400 pemilih biasa akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Sepanjang dua minggu berkempen, apa yang boleh disimpulkan pertembungan di lapangan berlaku dalam suasana berat sebelah.

Barisan Nasional (BN) dengan segala kekuatan jentera termasuk yang diimport dari seluruh negara menenggelamkan gerak kerja kempen Perikatan Nasional (BN).

Dari segi keterampilan dan pembawaan diri calon yang bertanding dalam kalangan pengundi juga, calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah jauh terkehadapan berbanding calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Dari segi isu-isu yang dibangkitkan pula tidak banyak yang menyentuh mengenai masalah tempatan memandangkan DUN Mahkota yang terletak di bandar Kluang sudah serba lengkap dengan infrastruktur serta kemudahan awam.

Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar beramah mesra bersama penduduk ketika tinjauan lokasi banjir sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Kampung Bentong, Kluang. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

Isu banjir kilat misalnya walaupun bukan isu baharu, namun hanya isu terpencil melibatkan sebahagian kecil penduduk yang pastinya tidak memberi pengaruh besar kepada pola pengundian keseluruhan pengundi DUN Mahkota.

Sebab itu sepanjang kempen PRK DUN Mahkota ini, PN tidak banyak membangkitkan isu-isu tempatan sebaliknya menggunakan pentas ceamah dengan bersungguh-sungguh membawa isu nasional.

Antara isu utama yang dibawa PN adalah berkenaan peruntukan yang dinafikan kepada Ahli Parlimen mereka serta peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang disebabkan kenaikan mendadak harga diesel sebelum ini.

Jika sambutan kempen dalam kalangan penduduk di lapangan menjadi ukuran, tidak keterlaluan untuk disimpulkan bagi BN, kemenangan sudah berada dalam tangan.

Namun, dalam situasi DUN Mahkota yang diketahui kubu kuat UMNO, serta dengan kecenderungan politik pengundi Cina yang terus kukuh kepada Pakatan Harapan (PH), sekadar menang bukan gambaran kejayaan sebenar buat BN pada PRK ini.

BN perlu menang dengan majoriti lebih besar bukan hanya untuk membuktikan parti itu khususnya UMNO sudah kembali mendapat sokongan pengundi, malah Kerajaan Perpaduan juga semakin diterima baik majoriti rakyat.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah menyantuni masyarakat Orang Asli ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2024

Bagaimanapun, untuk mengatakan BN mampu menang dengan majoriti besar esok sehingga kini masih sukar untuk ditentukan.

BN mungkin tidak berdepan masalah untuk menguasai undi orang Melayu memandangkan majoritinya adalah penyokong UMNO yang setia kepada parti seperti mana di sebahagian besar kawasan lain di Johor.

Undi masyarakat India juga boleh dikatakan sudah dikuasai hampir sepenuhnya oleh BN memandangkan PN masih lagi dilihat asing dalam kalangan pengundi India.

Begitu juga dalam kalangan lebih 4,000 anggota polis dan tentera yang sudah selesai mengundi awal yang juga boleh dikatakan deposit undi buat BN berdasarkan trend sokongan penjawat awam kepada kerajaan pada beberapa PRK lalu.

Namun, persoalan utama ketika ini adalah kecenderungan kira-kira 34 peratus pengundi Cina yang menjadi penentu sama ada BN mampu menang dengan majoriti lebih besar atau sebaliknya.

Apa yang dapat dilihat, sambutan pengundi Cina sepanjang kempen PRK DUN Mahkota ini agak dingin mereka seolah-olah tidak mahu dilihat bersama-sama di pentas jentera BN.

Isu paling utama yang menjauhkan pengundi Cina pada PRK kali ini sudah semestinya berkait pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah dan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon (tiga kiri) bergambar selepas merasmikan Majlis Kebudayaan Mahkota sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024

Sehingga ke saat-saat akhir kempen, isu pensijilan halal itu terus menjadi duri dalam daging kepada Kerajaan Perpaduan untuk meyakinkan pengundi Cina khususnya keluar mengundi.

Isu itu juga menambah beban kepada DAP yang sehingga kini masih dipertikai oleh sebahagian masyarakat Cina ekoran keputusan bekerjasama dengan BN di bawah Kerajaan Perpaduan selepas berpuluh-puluh tahun lamanya menanam kebencian kepada parti tersebut.

Apa yang dibimbangi PH ketika ini adalah pengundi Cina akan melakukan tindakan protes atau memboikot PRK DUN Mahkota esok dengan tidak keluar mengundi seperti yang berlaku pada PRK Sungai Bakap, Julai lalu.

Walaupun pemimpin-pemimpin BN dan PH bermati-matian cuba meyakinkan pengundi Cina kepentingan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara, namun nampaknya ia masih sukar untuk diterima.

Peratusan keluar mengundi masyarakat Cina yang rendah juga dikuatkan lagi dengan kemungkinan pengundi luar memilih tidak pulang mengundi esok disebabkan baru sahaja pulang ke kampung meraikan perayaan Pesta Tanglung minggu lepas.

Masyarakat India yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena pilihan raya kecil N29 DUN Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

Selain itu, dalam kalangan pengundi muda juga nampaknya ada gelombang rasa tidak puas hati yang sedang membenih yang tidak mustahil boleh merebak menjadi gelombang kemarahan besar.

Ia berkait dengan isu tindakan undang-undang yang bakal dikenakan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak pernah membuat bayaran balik.

Isu ini digunakan sebaik mungkin oleh pembangkang untuk memperlihatkan PH yang sebelum ini meletakkan janji menghapuskan PTPTN dalam manifesto mereka bukan sebuah parti yang boleh dipercayai.

Namun, apa pun pertimbangan yang dibuat oleh pengundi DUN Mahkota, ia perlu diterjemahkan menerusi peti undi esok.

Pengundi DUN Mahkota perlu membuktikan mereka benar-benar meraikan proses demokrasi dan keputusan undian mereka esok sama ada berpihak kepada BN dan PN bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik negara pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast