Kesemua premis makanan itu diarah tutup selama 14 hari susulan penemuan najis tikus.

GEORGE TOWN – Tiga premis makanan di sekitar pusat bandar di sini, diarah tutup 14 hari susulan penemuan najis tikus ketika pemeriksaan dilakukan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kelmarin.

Operasi jam 8 malam itu membabitkan premis di Lebuh Tek Son, Jalan Penang dan Lebuh Pantai.

MBPP berkata, operasi berkenaan memberi perhatian utama kepada aspek kebersihan dan juga warga asing yang bekerja di premis makanan terbabit.

Pemeriksaan MBPP menemui najis tikus di bahagian lantai dapur premis makanan tersebut.

“Semakan mendapati kesemua premis itu juga gagal menyediakan kawalan makhluk perosak  secara berjadual.

“Ketiga-tiga premis makanan itu diarah tutup serta-merta selama empat 14 hari berkuatkuasa 26 September.

“Tindakan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan MPPP 1991,”katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut MBPP berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang yang turut sama dalam operasi tersebut bertindak menahan enam warga asing yang bekerja di dua daripada premis makanan berkenaan.

Imigresen turut menahan warga asing yang melanggar Akta Imigresen menerusi operasi sama.

“Lima daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala seorang disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast