Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi menghadiri perbicaraan kes pendakwaan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1MDB ketika tinjauan MalaysiaGazette di Mahkamah Tinggi KL. Foto AIZAT ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang percaya wang masuk ke dalam akaun peribadinya adalah derma Arab dan menggunakan dana itu untuk rakyat, politik dan tidak sesekali untuk kepentingan peribadinya.

Hujah peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, oleh itu dakwaan ‘rasuah’ untuk dikaitkan dengan Najib tidak berlaku kerana hampir 95 peratus dana derma Arab itu digunakan untuk masyarakat khasnya kebajikan secara umum.

“Beliau (Najib) bukanlah gunakan wang-wang itu beli kapal layar mewah atau pesawat peribadi untuk kegunaan beliau mahupun belikan ‘champagne’ kepada orang di bar New York dan sebagainya.

“Kita telah buktikan 95 peratus wang itu tidak dibelanjakan oleh untuk kepentingan peribadi.

“Andaikan saya ini seorang perompak, saya pastinya akan menggunakan wang rompakan saya ini untuk keuntungan kegunaan peribadi dan tidak buat seperti Najib,” hujahnya.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada hujah akhir prosiding penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Collin turut bertanyakan apakah adanya perbezaan sama ada guna wang penyelewengan dana itu tujuan politik, kepentingan rakyat atau sebaliknya.

Namun kata Muhammad Shafee, anak guamnya percaya dana yang masuk ke dalam akaun peribadi itu daripada derma Arab dan ia telah digunakan untuk rakyat serta bukan kegunaan peribadi.

Prosiding bersambung lagi ketika ini.

Semalam, Muhammad Shafee berhujah, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti gagal untuk memaklumkan keraguan berhubung kemasukan dana 1MDB sebanyak AS$700 juta kepada Najib.

Ini kerana Najib yang juga mantan Menteri Kewangan berharap dan mempercayai Zeti bagi memastikan andainya terdapat keraguan, adalah tanggungjawab BNM untuk memaklumkan sebelum tindakan lanjut.

Namun Zeti tidak melakukan perkara itu.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.- MalaysiaGazette

1MDB: Semua keterangan saksi utama meragukan – Peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast