KUALA LUMPUR – Sebanyak 82 peratus levi yang sudah dikutip daripada majikan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) telah digunakan untuk pelbagai progam latihan pembangunan pada tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood ketika majlis penutupan Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 yang berakhir semalam.
Kata Shahul, antara yang digunakan oleh dana levi itu termasuk membiayai beberapa program pembangunan dan Minggu Latihan Kebangsaan serta NHCCE yang telah berjaya menarik penyertaan dalam dan luar negara.
“Dengan bangga boleh kami katakan, penggunaan levi tahun ini adalah (sebanyak) 82 peratus. Ini kerana setiap majikan percaya latihan itu penting. HRD Corp komited meningkatkan kutipan levinya yang akan digunakan untuk mengadakan sesi latihan dalam usaha memajukan pembangunan modal insan negara.
“Kita mahu pastikan levi kita dibelanjakan dengan bijak dan berkesan. Kita perlu pastikan ia dibelanjakan untuk membangunkan modal insan, perkongsian ilmu dan belajar daripada amalan terbaik,” katanya.
Untuk makluman, HRD Corp mengutip rekod levi bernilai RM2.2 bilion tahun lepas berbanding RM1.82 bilion pada 2022.
Dalam pada itu, NHCCE yang dinobat sebagai persidangan pembangunan sumber manusia (HR) terbesar di negara ini telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records tampil dengan pameran berprestij serta aktiviti interaktif sepanjang tiga hari.
Bertemakan ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan’ NHCCE diangkat sebagai salah satu acara terbesar di Malaysia dengan menghimpunkan minda terbaik berhubung pembangunan modal insan pada peringkat antarabangsa mahupun domestik.
Persidangan NHCCE 2024 ini juga akan mengetengahkan lebih 200 pempamer terkemuka yang mempamerkan trend terkini dalam pembangunan kemahiran, teknologi inovatif selain platform untuk kesejahteraan diri pada masa depan kelak. -MalaysiaGazette