SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharfifuddin, 41, menitiskan air mata ketika mendedahkan punca penceraiannya disebabkan kecurangan Fattah Amin.
Dalam linangan air mata dan suara sebak, Fazura mendakwa Fattah, 33, gagal memberikan nafkah ke atas dirinya dan anak perempuan tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, 4.
Selain itu, mereka juga sudah sekian lama tidak bersefahaman.
“Sejujurnya saya sebagai seorang isteri, tak akan nak gembira dengan penceraian saya, sangat bersedih. Sudah lama saya sengsara dan saya redha dengan ketentuan Allah.
“Selama ini saya memang ambil pendekatan kunci mulut untuk jaga aib saya, Fattah dan masa depan anak saya (Nur Fatima Aisya).
“Punca penceraian pertama adalah Fattah abaikan nafkah saya dan Fatima setelah sekian lama, kedua adalah tidak lagi seperfahaman, saya telah lama tidak bahagia, emosi saya terganggu dan mental saya tertekan tapi saya tetap bertahan dan telan apa sahaja tohmahan dan fitnah cacian yang dilemparkan kepada saya.
“Saya juga berharap sosok seorang suami itu akan ke depan untuk mempertahankan saya tapi langsung tiada, dan ketiga, saya tidak boleh terima apabila Fattah berlaku curang ke atas saya dan saya ada bukti.
“Dalam dua tahun ini saya tak bahagia, saya tak percaya dengan penceraian, jadi saya diam.Umum tahu saya memang sayangkan Fattah macam mana sebelum ini,” katanya pada pemberita.
Dalam pada itu, Fazura juga mengakui banyak pengorbanan dilakukan untuk menjaga rumah tangganya bersama Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, termasuk membelikan sebuah kereta berjenama mewah.
“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah, seperti semua sedia maklum saya memang sayangkan dia termasuk sediakan tempat tinggal, makan minum, hadiahkan kereta ‘Range Rover untuk keselesaan dia.
“Tapi yang membuatkan saya lebih kesal terhadap dia adalah kenderaan itu (yang dibeli Fazura), dia bawa naik wanita yang haram baginya dan saya juga nafi fitnah tuduhan tidak sekufu dengan Fattah,” jelasnya.
Pelakon filem ‘Gol Dan Gincu’ berkata beliau mendedahkan perkara itu kerana terdapat pelbagai spekulasi dan tomahan fitnah yang dilemparkan kepadanya sejak kebelakangan ini.
“Jadi dakwaan kata saya tidak sekufu dengan Fattah adalah tidak benar sama sekali. Kalau kami tidak sekufu, dari awal saya tak akan berkahwin dengannya.
“Namun, pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa. Kesal kerana telah berkorban banyak, tidak kira untuk dia mahupun keluarga dia,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan filem ‘Pendekar Awang’ sah bercerai talak satu sekitar jam 9.45 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai pihak apabila beliau memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.- MalaysiaGazette