Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO)

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sudah memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas susulan saman difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Ini berkaitan kes saman oleh Mashitah terhadap MHO dan dua jawatankuasanya, berhubung kenyataan fitnah mengaitkan beliau dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar baru-baru ini.

Peguam yang mewakili MHO, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, permohonan injunksi interim secara inter-parte atau kedua-dua pihak telah dipanggil untuk pengurusan dan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.

Dalam prosiding itu, kedua-dua pihak sudah bersetuju posting dibuat MHO sebelum ini akan diturunkan sementara menunggu bicara saman fitnah difailkan Mashitah.

Kata Haniff Khatri, perintah injunksi interim ini juga tidak akan menjejaskan hak MHO dan dua defendan lain untuk mencabar serta membatalkan keseluruhan tindakan Mashitah melalui perbicaraan penuh kelak.

“Selain itu, MHO dan dua defendan lain juga bersetuju untuk tarikh perbicaraan awal mengikut kesesuaian Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.

Peguam, Mohd Haniff Khatri Abdulla

Mashitah selaku plaintif membuat tuntutan itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan MHO, Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim dan jawatankuasanya, Azirul Shafiq masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menerusi dokumen tuntutan tersebut, bekas Ahli Parlimen Baling itu mendesak ketiga-tiga defendan ini membuat permohonan maaf, menuntut ganti rugi dan injunksi mandatori supaya memadamkan kenyataan dan klip video di Facebook dalam masa tujuh hari.

Mashitah berkata, pada 28 Ogos lalu, MHO memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu klip video kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Sebelum ini, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket berkenaan.

Tindakan itu berikutan tularnya satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast