Anwar Ibrahim, Perdana mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bilangan kedua tahun 2024 pada 15 Oktober 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melepasi sasaran pelaburan RM10 bilion bagi tahun 2024 dengan RM13.3 billion pelaburan direalisasikan dalam wilayah ini setakat September 2024.

Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim, dan pelancongan.

Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) (2018 – 2025), ECERDC telah meraih pelaburan direalisasikan berjumlah RM44.4 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melebihi 90 peratus sasaran RM49 bilion seperti yang ditetapkan di bawah EMP 2.0.

Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 69,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan di wilayah ini.

Menurutnya, ECERDC telah memudahcara pelaburan komited berjumlah RM58.6 bilion, mewakili 84 peratus sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0.

“ECERDC telah mencapai 90 peratus daripada sasaran RM49 bilion di bawah EMP 2.0 merupakan bukti jelas potensi ekonomi yang semakin meningkat di rantau ini.

“Pelaburan yang direalisasikan dan penciptaan pekerjaan telah meningkatkan ekonomi rantau ini dengan ketara,” katanya dalam kenyataan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, usaha berterusan ECERDC, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), meletakkan Wilayah Pantai Timur sebagai hab pelaburan strategik yang bersedia untuk menarik aliran masuk modal yang tinggi.

Mesyuarat Majlis ECER bilangan kedua tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam memuktamadkan rangka kerja kerjasama, menandakan langkah penting dalam meningkatkan daya tarikan wilayah ini kepada pelabur.

“Sinergi antara MIDA dan ECERDC adalah penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pemudahcaraan pelaburan di Wilayah Pantai Timur, dari peringkat awal sehingga fasa sokongan selepas pelaburan,” katanya.

Selaras dengan matlamat pembangunan saksama MADANI, Pelan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dari tahun 2026 hingga 2030 turut dibentangkan oleh ECERDC semasa mesyuarat tersebut.

Pelan strategik ini memberi tumpuan kepada empat teras utama, termasuk meningkatkan keterjaminan makanan melalui bakul makanan negara, mencipta destinasi pelancongan baharu seperti Pelancongan Rel ECER, pembangunan industri marin, termasuk pembinaan kapal dan pembaikan kapal, dan memajukan sektor pembuatan “Hard-to-Abate” seperti keluli, petrokimia dan mineral.

Inisiatif ini akan disokong oleh pembolehdaya utama (key enabler) seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berfungsi sebagai jambatan darat antara Pantai Timur dan Barat, mengukuhkan kedudukan strategik Wilayah Pantai Timur sebagai pintu masuk ke China dan Asia Pasifik dengan perluasan pelabuhan dan lapangan terbang untuk meningkatkan perdagangan dan pelancongan.

Pelan tersebut juga menekankan zon tenaga boleh diperbaharui, teknologipengawalan karbon (CCUS), dan pengeluaran biotenaga, memastikan pertumbuhan mampan di Wilayah Pantai Timur.

ECERDC menyasarkan sasaran untuk mencapai RM225 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, dipacu oleh kadar pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

Projek utama dalam empat sektor ekonomi, bersama inisiatif pemangkin, dijangka menyumbang 60 peratus daripada jumlah pertambahan KDNK Wilayah Pantai Timur dalam tempoh ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast