Pesawat-pesawat Air Asia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Tempoh bayaran balik penuh kepada pengguna selama 30 hari bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang adalah jangka waktu maksimum.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan digalakkan mempercepatkan bayaran balik itu sebagai penambahbaikan ke atas prosedur operasi standard (SOP) mereka.

“Itu adalah tempoh maksimum dan sudah tentu kita akan menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan menambahbaik dari segi SOP mereka supaya pembayaran balik dipercepatkan sekiranya ada berlaku kelewatan.

“Bagi kita ini kerana penambahbaik oleh Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) supaya hak pengguna ini dapat dilindungi bagi kelewatan lebih dari lima jam atau mereka menjadualkan semula penerbangan melebihi beberapa jam.

“Maka pengguna ada hak untuk menuntut bayaran balik penuh dan tempoh 30 hari itu ada tempoh maksimun yang diberikan kepada syarikat penerbangan tetapi kita harap mereka dapat percepatkan dan kalau dapat dipercepatkan imej syarikat itu lebih baik bagi pemasaran mereka dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai Tempoh bayaran balik penuh kepada pengguna selama 30 hari bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang adalah terlalu lama dan tidak memadai melindungi hak pengguna.

Berkuatkuasa 2 September lalu, syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.

Perkara itu antara penambahbaikan baharu dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dilaksanakan MAVCOM yang diwartakan bulan lalu.

“Untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.

“Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell. Bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki,” kata Anthony dalam sidang media sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast