Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan. Foto Facebook Kesultanan Pahang.

KUALA LUMPUR – Istiadat Perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz esok.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata, sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan yang dimulakan dengan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

“Sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.

“Pada pukul 6.30 petang pula, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang di sini, hari ini.

Pasangan Pengantin Diraja itu bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober ini di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pukul 8 malam.

Mengulas lanjut, Mohamed Zahari memberitahu, seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober ini dan Istiadat Persandingan Diraja dua hari kemudian.

Menurut beliau, semua istiadat itu akan berlangsung di Istana Abdulaziz pukul 8.00 malam.

“Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pahang.

“Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober ini di Istana Abdulaziz.

“Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pukul 4.00 petang dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin,” kata kenyataan itu.

Mohamed Zahari menambah, sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

Ujar beliau, bacaan doa oleh Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan dan Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.

“Seterusnya, bagi mengakhiri semua istiadat, Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang di mana tembakan meriam dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here