Nur Auliya Adra Farisya Fahmi perlu RM60,000 untuk pembedahan jantung.

BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan berusia sebulan memerlukan sumbangan RM60,000 daripada orang ramai bagi menjalani pembedahan segera akibat masalah kecacatan jantung kongenital.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nur Auliya Adra Farisya Fahmi yang berasal dari Pendang, Kedah itu hanya sempat pulang ke rumah selama 10 hari selepas lahir sebelum ditahan semula di hospital hingga kini kerana menjadi lesu serta enggan minum susu.

Katanya, ujian awal doktor selepas dia diintubasi mendapati berlaku penurunan oksigen dalam darah secara tiba-tiba sebelum disyaki mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

“Bagaimanapun, pemeriksaan terperinci oleh pihak hospital mendapati bayi itu mengalami kecacatan jantung sekali gus terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi kerana perlu bergantung kepada bantuan oksigen.

“Doktor mengesahkan dia mengalami masalah ‘severe coarctation of the aorta’ (CoA), ‘isthmus’ dan ‘distal arch hypoplasia’ yang mengakibatkan aliran darah tersumbat dan tekanan darah tidak normal.

Ibu bapa bayi berkenaan tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut.

“Justeru, bayi itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin untuk mengelakkan kegagalan jantung atau jangkitan kuman yang akan mengancam nyawanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bapa kepada bayi tersebut, Fahmi Ahmad Zainol Abidin, 38, merupakan penjawat awam manakala isterinya, Siti Aishah Hashim, 35, suri rumah menyebabkan mereka tidak mampu menampung kos pemebedahan terbabit.

“Pasangan itu juga mempunyai dua lagi anak perempuan berusia enam dan sembilan tahun, justeru kita akan membantu mengumpul dana RM60,000 bagi merealisasikan pembedahan tersebut.

“Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor-3193433435 atau layari www.onehopecharity.org,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, sila hubungi talian hotline, 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192, 018 911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast