Sazalee (kanan) meninjau lokasi kejadian seorang pelajar kolej vokasional maut dalam kemalangan di Jalan Balik Pulau/ Genting hari ini.

BALIK PULAU – Seorang pelajar maut ketika dalam perjalanan ke Kolej Vokasional Balik Pulau (KVBP) selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Balik Pulau/Genting di sini, hari ini.

Nahas berlaku kira-kira jam 8.20 pagi menyebabkan mangsa, Aidiel Amsyar Ismadi, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa dari arah Bayan Lepas menghala ke Balik Pulau manakala dua lagi pemandu kereta masing-masing dari arah Balik Pulau menghala Teluk Kumbar.

Sazalee.

“Bagaimanapun, apabila sampai di satu selekoh di Jalan Balik Pulau/Genting pemandu kereta Nissan Almera telah memotong sebuah kereta Proton X50 sebelum bergesel dengan motosikal ditunggangi mangsa.

“Susulan itu, mangsa dilaporkan terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak pembantu perubatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk proses bedah siasat.

Tambah Sazalee, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MalaysiaGazette difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Teluk Kumbar selepas solat isyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast