Tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bakal memberi impak serius kepada rantaian industri vape yang kini telah dinilai berada pada kadar RM3.48 bilion kata, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM).

Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli berkata, meskipun akta itu bagi memastikan aktiviti industri dikawal selia, namun beliau bimbang peraturan diperkenalkan terlalu ketat.

“Melalui sesi taklimat yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini, industri dimaklumkan bahawa industri diberikan enam bulan sehingga 1 April 2025 untuk mematuhi ketetapan di mana kedai khusus vape perlu membuat cermin gelap atau membuat pengubahsuaian kepada premis kedai supaya apa-apa yang terjual di dalam kedai tidak boleh kelihatan dari luar kedai.

Ridhwan Rosli, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia

“Manakala kedai serbaneka atau kedai runcit pula perlu membuat perubahan supaya produk tidak boleh terlihat di dalam kedai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sebahagian besar golongan peniaga vape adalah usahawan kecil dan sederhana (PKS) dan tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk menampung kos tambahan yang diperlukan bagi memenuhi ketetapan tersebut.

Ridhwan juga berkata KKM turut memaklumkan, produk vape yang bersifat sistem tertutup (closed system) dan mengandungi lebih daripada 3 mililiter (mL) tidak boleh terjual lagi.

Pada masa yang sama, produk vape yang bersifat sistem terbuka (open system) tidak boleh melebihi 15 mL.

“Ini adalah suatu tamparan yang hebat kepada industri kerana pada masa ini dalam industri, kebanyakan produk adalah lebih daripada tahap yang ditetapkan ini.

“Ketetapan ini akan membuatkan industri terjejas kerana ia tidak bersesuaian dengan permintaan semasa dari pengguna.”

”Dalam anggaran kami, lebih daripada 70%-80% daripada produk dalam pasaran melebihi 3 mL untuk produk sistem tertutup dan 15mL untuk produk sistem terbuka,” katanya.

Tegas Ridhwan, industri vape di Malaysia telah berkembang kepada 2500 kedai vape dan 7500 kedai runcit am yang menjual vape.

Berdasarkan laporan DPVM, telah membuka peluang kepada 31,500 orang untuk bekerja di dalam industri itu.

Namun begitu menurut beliau, angka itu dijangka menurun jika peraturan melibatkan vape terlalu ketat.

“Situasi ini bukan sahaja mengakibatkan ramai yang akan mengalami kerugian dalam industri dengan produk yang sedia ada dalam pasaran perlu dilupuskan serta merta tetapi juga membantutkan perkembangan industri vape tempatan.”

“Peraturan tidak sepatutnya bersifat menghukum peniaga terutamanya apabila produk vape bukannya seperti produk rokok tembakau.

“Peraturan yang sama tidak patut dikenakan untuk kedua-dua vape dan rokok tembakau,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula peraturan ketat yang terkandung dalam Akta 852.

Kerajaan juga digesa mencari pendekatan yang lebih holistik bagi mengawal industri ini tanpa menjejaskan rantaian perniagaan dan peluang pekerjaan yang telah dibina. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast