Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merasa kesal terhadap kenyataan terbuka oleh seorang ahli akademik tanpa menjaga batas kehormatan terhadap institusi pentadbiran agama berikutan pertikaian berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Lantaran itu, IKIM menasihati ahli akademik tersebut memohon maaf di atas keterlanjurannya.

Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil berkata, saranan ahli akademik tersebut yang hanya berdasarkan perbezaan pandangan adalah tindakan yang terburu-buru dan boleh menjejaskan kredibiliti institusi pentadbiran agama serta melangkau adab dan tatasusila kesopanan.

“IKIM memahami RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan perdebatan dan perbezaan pendapat. Namun, adalah penting untuk semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan berbincang secara berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik,” katanya sambal menegaskan kepentingan menghormati institusi pentadbiran agama dan proses perundangan yang sedang berjalan.

Sebelum ini, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan agar Mohd Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurut Abu Hafiz, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang “lebih baik” dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mohamad Azam berkata, IKIM percaya Mufti Wilayah Persekutuan, sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama telah memberikan penjelasan yang komprehensif terhadap isu yang dibangkitkan.

IKIM juga menyeru semua pihak agar menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Marilah kita bersama-sama mengekalkan kehormatan institusi pentadbiran agama, menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak yang memerlukan penjelasan lanjut berkenaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk merujuk penjelasan terkini oleh Sahibul Samahah Mufti Wilayah Persekutuan dalam slot Analisis TV AlHijrah pada 29 Oktober 2024 yang lalu.

Slot ini boleh dicapai melalui saluran Berita AlHijrah di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=NHZW6kt3bjs.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast